JOHOR BAHRU – Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru terhadap enam pertuduhan mencabul dan mendatangkan kelucahan melampau terhadap empat kanak-kanak perempuan dalam kejadian 15 Mei lalu.
Tertuduh, Omar Yahaya, 68, melakukan jenayah itu terhadap semua mangsa termasuk dua beradik berusia lapan, sembilan dan 11 tahun itu di rumahnya di Blok C, Sri Tanjung Jalan Denai 1, Kempas Permai di sini kira-kira 8 malam.
Dia yang tidak diwakili peguam dan ditemani ahli keluarga, tenang dan mengangguk faham apabila jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan mengikut Seksyen 354 dan 377E Kanun Keseksaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan mangsa dan berdepan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau dua daripadanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh memujuk mangsa ke rumahnya untuk makan sebelum melakukan jenayah cabul dan kelucahan melampau. Tertuduh turut menjanjikan wang bagi membenarkan perlakuan jenayah itu terhadap mangsa namun perbuatan jijik tertuduh terbongkar selepas salah seorang mangsa adik-beradik mengadu kepada ibu mereka.
Bagi dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan, Omar didakwa merangsang dua kanak-kanak berusia lapan tahun, memegang kemaluannya.
Omar berdepan penjara hingga 15 tahun bagi setiap kesalahan ini dan berdepan hukuman penjara hingga 70 tahun atas kesemua enam kesalahan terbabit.
Tertuduh yang sudah ketiadaan isteri sejak 20 tahun lalu, ditangkap selepas ibu kepada salah seorang mangsa membuat laporan polis pada 18 Mei lalu.
Majistret, Noor Aisyah Ahmad mengarahkan keputusan jatuh hukum dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru 20 Julai ini dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.
Timbalan Pendakwa Raya, Fithril Hakim Ab Jalil berhujah bimbang dengan keselamatan mangsa yang tinggal di blok yang sama dengan tertuduh.