Nur Fasha Sandha Hassan tidak sesekali berasa serik dengan perkahwinan. Malah akui wanita ini dia belajar sesuatu perkara yang tinggi nilainya; perlu ada restu keluarga untuk berkahwin.

Ketika diri bertukar status pada 20 Januari lepas, Fasha mengakui diri semakin tenang biarpun kerap diasak tentang punca perpisahannya dengan bekas suami, Rizal Ashram Ramli yang lebih dikenali dengan panggilan Jejai.

Bergelar ibu tunggal lebih kurang 3 bulan, Fasha bersyukur kerana dikelilingi oleh orang-orang yang banyak memberi sokongan dan semangat kepada dirinya.  

“Syukur alhamdulillah mama dan keluarga terutama anak-anak membuatkan saya lebih kuat  untuk hidup. Kehidupan saya indah, penuh warna-warni.  Apa yang berlaku dalam hidup saya, saya anggap ia sebagai episod indah.

“Kadangkala mama tolong jagakan anak-anak. Bila ada masa terluang, kami akan pergi tengok wayang, jalan-jalan naik tren sebab anak-anak suka.

“Masyarakat sekarang lebih terbuka. Bila saya di luar, mereka datang dan bagi semangat. Minta saya kuat dan tidak bercakap perkara yang boleh menggores hati saya. Saya memang wanita besi dan cakaplah apapun saya tidak kisah.

“Saya memang seorang yang menjaga disiplin kerana pada saya untuk kekal dalam industri ini, kita perlu jaga disiplin. Oleh kerana itu, bila orang tahu saya single semula, mereka masih lagi nak tawarkan saya berlakon sampai beratus drama berepisod,” ujarnya yang semakin langsing.

Menjalani rutin harian sebagai ibu seperti biasa, Fasha melihat kedua-dua orang anaknya itu tidak terkesan dengan perpisahan yang berlaku.

http://support.karangkraf.com//mwa/21042016/fasha.jpg

“Anak-anak tidak faham situasi perceraian tersebut kerana mereka masih kecil. Rayfal berusia 2 tahun 9 bulan manakala Raysha berusia setahun 5 bulan. Mereka gembira sahaja seperti tiada apa-apa yang berlaku. Mereka lebih rapat dengan saya sebab saya ibunya,” ujar Fasha.

Menyifatkan dua cahaya matanya sangat rapat dengan dirinya, pastinya wanita ini terhibur hati dengan telatah manja mereka.

“Raysha masih susu badan sampai sekarang tetapi ketika waktu malam sahaja. Dia faham dengan situasi saya yang bekerja. Sementara Rayfal pula selain manja adalah seorang anak yang bijak.

“Cuma sekarang dia belum masuk usia 3 tahun lagi dan tidak mahu pergi ke sekolah. Dia rasa dirinya lebih elok duduk di rumah. Saya dah masukkan dia sekolah bulan Januari lepas.

“Hari pertama dia okay, hari kedua pun dia okay tetapi masuk hari ketiga, dia tak mahu pergi sekolah dah. Jadi, saya buat keputusan untuk berhentikan dia sekolah sekejap. Mungkin bila dah masuk usianya tiga tahun lebih baru saya masukkan dia semula ke sekolah,” ungkap Fasha.

Kisah Fasha diselit dengan bait indah bergelar seorang ibu tunggal kepada dua orang anak kecil. Untuk ketahui kekuatan dan cerita indah disebalik ujian yang menimpa dalam rumah tangga, anda boleh dapatkan majalah Mingguan Wanita bilangan 1691 (15-21 April 2016) yang sudah ada di pasaran.