MISTERI KEMALANGAN: TIADA SIAPA YANG NAMPAK DIA... DARI MANA DIA DATANG...? TETIBA SAHAJA.....

RAUB - Seorang warga emas yang menunggang motosikal maut selepas berlanggar dengan sebuah lori di Jalan Simpang Kallang-Bukit Koman, berhadapan Raub Hardware, di sini petang hari ini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu menyebabkan mangsa, Saffri Md Nong, 63, meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori jenis Dayon dan sebuah motosikal jenis Demak.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian kemalangan berlaku apabila pemandu lori sedang mengundur keluar dari kedai Raub Hardware ke jalan besar dengan diawasi oleh seorang pekerja kedai tersebut.
“Selepas memastikan tiada kenderaan dari dua hala, pekerja telah memberi isyarat kepada pemandu lori untuk mengundur.
“Dengan tiba-tiba sebuah motosikal yang dinaiki oleh Saffri dalam perjalanan dari arah Bukit Koman menghala ke Simpang Kallang tidak sempat mengelak dan terus melanggar bahagian kanan lori tersebut dan terjatuh,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.
Mohd Zahari berkata, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat.
Manakala katanya, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil saringan ujian air kencing pemandu didapati negatif dan tidak terlibat dalam kegiatan dadah.
“Semasa kejadian, permukaan jalan didapati kering dan keadaan pada ketika itu cuaca dalam keadaan yang baik.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

0 comments:
Post a Comment