KUANTAN  -  Keadaan seorang remaja, Muhammad Faris Abdullah, 15, kini berubah seratus peratus selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 2 Jun lalu.
Dalam kejadian kira-kira 12.00 tengah malam itu, Muhammad Faris yang membonceng motosikal rakan tercampak dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kaki, paha dan mulut selepas bertembung dengan sebuah kereta.
Ibunya, Siti Wahyu Akma Abdullah, 37, berkata, anak kedua daripada tiga  adik-beradik itu disahkan mengalami kecederaan pada otak yang menjejaskan pemikirannya.
Menurutnya, hentakan kuat pada bahagian kepala menyebabkan tekanan otak menjadi tinggi sehingga koma selama lapan hari dan berada di wad selama sebulan setengah.
“Saya tak sanggup tengok keadaan dia sewaktu di hospital, saya hanya tengok pada keesokan hari.
“Akibat kecederaan yang dialami terutama pada bahagian otak, telah menjejaskan daya ingatannya seolah-olah seperti kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherating, hari ini.