Benar kehidupan Datuk Jalaluddin Hassan sekarang melewati fasa bahagia. Kekal bertahan dalam industri seni hiburan tanah air, tawaran lakonan masih datang mencurah.

“Apa yang berlaku ini adalah dengan izin Allah. Walaupun saya sudah berusia 62 tahun, kata orang sudah otai tetapi saya masih menitikberatkan lakonan saya. Saya masih belajar dan cari kelemahan saya dan tidak mendabik dada," ujarnya.

Ditemani dua orang anak perempuannya, Nurul Khairisuhaira, 31 tahun dan Nurul Hanani , 22 tahun sesekali kedengaran suara merdu lelaki ini melontarkan melodi indah.

Kerap menghadiri screening test demi mengejar impian menjadi pelakon, jelas Datuk Jalaluddin Hassan semuanya tidak mudah. Peluang ketika itu sangat terbatas.

“Sehinggalah saya menghadiri satu uji bakat anjuran RTM dan penerbit ketika itu Zainal Abidin Ibrahim adalah individu yang bertanggungjawab membawa saya masuk ke dalam industri termasuk Datuk Rahim Razali.

“Saya dapat dua episod drama Santan Berlada dan bapa tidak kisah berlakon ketika itu namun apabila saya mula berlakon dalam drama yang melibatkan babak bersentuhan tangan dengan perempuan, bapa jadi kecewa.

“Tetapi bapa lepaskan kepada mak ketika itu dan bila saya dikatakan memalukan keturunan Al Azahari, mak menyokong saya. Katanya saya ini berlakon di hadapan semua orang dan kalaulah itu yang dikatakan buat maksiat, mak saya kata tidak mengapa.

“Ini berlarutan sehingga hampir 10 tahun dan selepas itu barulah bapa dan saudara mara dapat menerima. Bapa izinkan dengan syarat saya tidak tinggal solat.

“Mungkin kerana bapa tidak nampak cara lain untuk saya sara keluarga lebih-lebih lagi ketika itu saya kerap ke luar negara untuk shooting,” katanya yang menang anugerah pertama melalui drama Jejak Perantau menerusi Anugerah Seri Angkasa sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.


 
Mementingkan penjagaan kesihatan, jurucakap minuman tenaga V’Asia ini sempat meluangkan masa dengan aktiviti bersama keluarga sepanjang Ramadan ini.

“Selalunya, jika tiada shooting, saya akan menyertai majlis berbuka puasa bersama adik beradik, bersolat terawih dengan berimamkan bapa dan diselang-selikan dengan tazkirah,” kongsi anak ketiga kepada tokoh pengajian Al-Quran, Tan Sri Haji Hassan Azhari.

Menyambut Syawal di rumah bapa dekat Keramat seperti kebiasaannya, bapa kepada Nurul Halilah, Nurul Halina, Nurul Khairunisa, Nurul Aini, Nuruln Izati dan Mohammad Nur Arif ini turut menyediakan bajet hari raya untuk keluarganya.

Saat diajukan tip perkahwinan bahagia, Datuk Jalaluddin sempat menitipkan pesan bahawa lelaki perlu mendidik diri sendiri.

“Kalau ikutkan nafsu lelaki tak pernah habis. Kita kena tahu macam mana nak didik diri kita. Bagaimana mahu bezakan apa yang baik dan apa yang boleh dibuat. Sebab itu kena didik diri kita sendiri. Memang ada kalanya perlu pandangan orang lain. Tetapi akhirnya keputusan itu di tangan kita sendiri. Saya nampak itu dan alhamdulillah sudah 38 tahun kami bersama,” tegas Datuk Jalaluddin positif.

Bagaimana pelakon ini manjakan anak-anak dan apa cabaran terbesar dia besarkan anak, anda boleh ikuti dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1699 yang sudah ada di pasaran