Perjalanan hidup ini tidak diketahui pengakhirannya bagaimana. Begitu juga dengan alam perkahwinan yang dibina yang tidak diketahui pasang surutnya. Namun jika ia terhenti di pertengahan jalan, laluinya pancarobanya dengan tabah. Pasti kebahagiaan akan menjadi milik si empunya diri.

Empunya nama sebenar Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar,33, yang lebih dikenali sebagai Dynas Mokhtar, melalui hari-harinya bersama anak-anak dengan bahagia. Walaupun berstatus ibu tunggal selama dua tahun wanita ini tabah dan tidak berdendam dengan bekas suaminya, Mohd Hafizy Hafiz di atas apa yang berlaku.



“Hubungan saya dan bekas suami baik-baik sahaja. Saya ada anak-anak, untuk bergaduh dengan Mohd Hafizy Hafiz pasti membuatkan saya berfikir dua tiga kali. Sudah tentu untuk kebaikan anak-anak saya cuba menghindari dan buat tidak tahu sahaja. Untuk apa? Ia tidak ada kebaikannya. Lagipun anak-anak masih kecil dan perlukan komitmen kami berdua.

“Syukur apabila hubungan kami ini tidak ada masalah senang untuk saya meminta pertolongan dengannya. Bantu saya menjaga anak-anak terutama apabila ada penggambaran atau kerja di luar daerah. Sekurangnya anak-anak tidak terabai apabila saya sibuk dengan penggambaran.  Ada ayahnya yang dapat menjaga mereka.

“Bukan itu sahaja saya juga baik dengan keluarga mertua. Saya tidak merasakan hubungan kami ini sudah terputus walaupun sudah tidak ada hubungan dengan anaknya lagi. Saya anggap dirinya seperti ibu saya sendiri dan selamanya begitu,” ujar Dynas yang bakal memegang watak utama dalam drama Aku Dia & Kenangan,  slot Azalia TV arahan Suhan Movie.
Dynas juga ada pendapat sendiri tentang soal kecantikan.