SEREMBAN - Semua penjaja yang berniaga di tepi jalan sekitar daerah ini Senawang dinasihatkan supaya mengikut peraturan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, penjaja yang menjalankan perniagaan sesuka hati dan ingkar dengan peraturan disediakan akan dikenakan tindakan.
Beliau berkata, sekiranya mahu berniaga, pastikan lokasinya adalah sesuai serta tidak menganggu ketenteraman awam.
“Kita dapati ada segelintir peniaga yang menjalankan perniagaan di tempat yang tidak sesuai, sehingga menganggu perjalanan lalu lintas.
“Berniaga tak salah, tetapi jalankan urusan perniagaan itu dengan betul. Ikutlah segala peraturan yang ditetapkan.
“Kalau penjaja yang berpayung pastikan payung mereka dikemaskan kembali, serta tidak meninggalkan sebarang peralatan niaga di lokasi.
“Jangan pula sesuka hati biarkan payung itu terbuka ditepi jalan, kerana tempat itu bukanlah premis niaga,” katanya di sini.
Beliau berkata, tindakan saman akan dikenakan kepada peniaga yang melanggar peraturan, misalnya tidak menjaga kebersihan, mengganggu laluan lalu lintas, dan membiarkan peralatan niaga bersepah.
Menurutnya, anggota penguat kuasa akan sentiasa memantau di sekitar daerah ini bagi memastikan setiap penjaja di tepi jalan tidak melanggar peraturan.
Sekiranya ada, katanya, tindakan termasuk saman dikenakan kepada mereka yang terlibat.
“Kita perlu adil dalam menjalankan tugas, peniaga yang berniaga di lot-lot kedai perlu membayar sewa, membayar cukai, bayar bil air dan elektrik, tetapi mereka yang berniaga di luar dijalankan secara percuma.
 “Jadi sama-samalah kita menjaga keharmonian dan berniagalah dengan betul serta tidak menyusahkan orang lain,” katanya.