KOTA BHARU - Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas tuduhan merogol seorang gadis di sebuah rumah di Kampung Che Latiff, di sini.
Tertuduh, Amirul Ashraf Mohd Nor, 23; Wan Muhammad Azizu Wan Mokhtar, 20, dan Zamri Hassan, 26, didakwa pada pertuduhan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.
Zamri dan Amirul Ashraf didakwa merogol seorang gadis berusia 19 tahun berkenaan di sebuah rumah di Jalan Kuala Besar, kampung berkenaan antara jam 12 tengah malam dan 1.30 pagi, 9 September 2014.
Mereka berdepan tuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Wan Muhammad Azizu pula dituduh merogol gadis sama dan sebelum melakukan kesalahan tersebut dia meletakkan mangsa dalam ketakutan kecederaan pada masa dan tarikh sama di lokasi kejadian.
Bagi kesalahan ini Wan Muhammad Azizu boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan juga sebatan mengikut peruntukkan Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan.
Kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 19 Julai depan.
Mahkamah turut membenarkan Zamri dan Amirul Ashraf diikat jamin sebanyak RM11,000, manakala RM10,000 kepada Wan Muhammad Azizu.
Mereka bebas selepas menjelaskan wang jaminan tersebut.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fahrul Razi Zainal Abidin dan kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd Faizal Hazim Abdul Rahman.