KUALA LUMPUR - ‎"Saya ada banyak peluang untuk hancurkan Umno, masa jadi Presiden Umno pun saya boleh hancurkan Umno, tapi saya tak buat," demikian kenyataan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun Mahathir berkata, beliau sebaliknya memperkukuhkan kubu Umno sebelum beliau melepaskan jawatan dalam parti tersebut.
"Saya boleh curi RM 50 bilion (semasa memegang jawatan presiden parti), hancurlah parti selepas itu. Tetapi semasa saya sebagai presiden, parti kita menang dua per tiga undi majoriti selama lima tahun berturut-turut," katanya.
Mahathir berkata demikian ketika berucap dalam Program Sesi Bersama Tun Mahathir di Audtorium Muzium Kesenian Islam, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi,‎ sekiranya beliau berniat menghancurkan Umno, beliau akan 'angkat kaki' dan 'lepas tangan' ketika parti dan negara dilanda pelbagai krisis semasa beliau masih presiden.
"Masa itu, negara ada macam-macam krisis seperti krisis kewangan dan isu liwat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya selesaikan dahulu isu dan masalah yang ada dalam parti dan negara, kemudian baru saya letak jawatan," ujarnya lagi.