Kebanyakan manusia mampu untuk memaafkan tetapi sukar untuk melupakan dan dalam masa yang sama tidak mampu lagi memberi peluang. Adakah sememangnya sekali tersalah, tiada lagi peluang untuk seseorang itu membuktikan dia telah berubah?

Realitinya, hidup bererti memberi peluang. Setiap hari kita melakukan pelbagai perkara dan sama ada sedar atau tidak, ada perkara yang menyebabkan kita berdosa kepada manusia malah kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Malah ada manusia yang berulang kali melakukan dosa saban hari hingga ke malam.

Walau ada yang tidur terus kerana tidak dikembalikan Nya nyawa, kita yang mampu terus bernafas di muka bumi ini adalah antara yang terpilih dan diberikan peluang untuk mengubah diri menjadi lebih baik – sebagai isteri atau suami, sebagai ibu atau bapa atau anak, sebagai pekerja atau majikan, sebagai jiran atau saudara malah menjadi lebih baik untuk diri sendiri khususnya sebagai hamba yang mengaku beriman kepada Nya.

Andai Allah SWT masih kekal memberikan kita peluang saban hari dan masa, kenapa kita sebagai hamba tidak berusaha memberikan peluang yang sama?

Perkara yang paling sukar diberi peluang ialah apabila diri dikhianati pasangan. Dalam banyak keadaan, suami atau isteri terlalu sukar memberi peluang untuk pasangan membuktikannya telah berubah. Walaupun hubungan masih diteruskan tetapi kesilapan silam digunakan sebagai senjata untuk menjerat diri agar tidak percaya pada pasangan lagi. Sama juga dengan hubungan persahabatan atau persaudaraan, se kali tersalah seperti dipersalahkan sepanjang hayatnya.

Ramai  seakan terlupa, rakan anda manusia, musuh anda manusia, pasangan anda manusia, anda juga manusia yang masing-masing tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta. Kedua-dua keadaan ini cukup untuk menenggelamkan seseorang. Bezanya sama ada orang tersebut akan terus lemas atau berjaya diselamatkan. Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya kerana yang pasti, Allah masih memberinya peluang dan harapan.

Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama? Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya?

1. Akuilah kebenaran, hidup kita ibarat roda, ada tikanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Maafkan lah dan berikan peluang kerana kelak, jika anda di tempat yang sama, akan ada orang lain yang akan memaafkan dan memberi anda peluang yang sama.

2. Allah SWT dengan syariat Islam mengajar kita untuk sentiasa memberi peluang. Perhatikan sahaja realiti perceraian. Talak pertama dan talak kedua dikategorikan sebagai talak rajei iaitu talak yang boleh dirujuk ketika masih di dalam tempoh eddah. Andai tempoh eddah telah berakhir – minima tiga bulan dan maksima sembilan bulan (jika diceraikan tika awal kehamilan), pasangan bercerai masih boleh bersama semula sebagai suami isteri dengan akad nikah baru.

3. Andai terjadi talak tiga yang diklasifikasikan sebagai talak bain kubra iaitu tidak boleh rujuk walau berada dalam tempoh eddah dan tidak boleh nikah semula walau menggunakan akad nikah baru tetapi pasangan ini tetap boleh bersama sebagai suami isteri dengan syarat si isteri yang telah diceraikan berkahwin dengan seorang lelaki yang lain, berlaku hubungan kelamin antara mereka kemudian bercerai sama ada bercerai hidup atau mati dan si wanita melalui tempoh eddahnya dan ketika selesai tempoh eddah tersebut, si wanita boleh dikahwini semula oleh suaminya yang pertama. Betapa Allah menganjurkan peluang kepada hamba Nya...

Namun, sejauh mana peluang boleh diberi? Sekali? Dua kali? Tiga kali? Kalau mengikutkan hukum perceraian, peluang boleh diberi melebihi tiga kali. Sebenarnya, berapa jumlah peluang yang boleh diberi tidak ditentukan had minima malah tidak juga ditetapkan had maksima.

Paling utama, selagi anda berdaya menjadi hamba yang adil dan redha dengan kesan daripada tindakan anda memberikan peluang, anda bebas untuk terus memberikan peluang kepada sesiapa sahaja.