SINGAPURA - Seorang lelaki rakyat Singapura yang secara terbuka menyokong militan IS dan mempengaruhi rakyat Singapura yang lain ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), lapor Berita Mediacorp.

Zulfikar Mohamad Shariff, 44 dikenakan Perintah Tahanan selama dua tahun, menurut Kementerian Dalam Negeri (MHA), semalam.

Menurut MHA, individu tersebut menjadi radikal seawal tahun 2001 setelah membaca bahan-bahan berkaitan kumpulan pelampau.

Zulfikar menyokong kumpulan-kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah serta menggalak masyarakat Islam supaya berjuang di Afghanistan setelah serangan pengganas pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS).

Setelah berpindah ke Australia bersama keluarganya pada tahun 2002, Zulfikar menyertai pertubuhan Hizbut Tahrir.

Dia turut terpengaruh dengan ajaran-ajaran ideologi radikal seperti Anwar al-Awlaki dan terus berhubungan dengan tokoh-tokoh radikal yang menetap di Australia dan di luar negara, seperti Musa Cerantonio dan Anjem Choudary.

Sebelum penangkapannya, Zulfikar memuat naik beberapa catatan Facebook mengangungkan serta menggalakkan tindakan IS.

Ini termasuk gambar Zulfikar bersama anak-anaknya dengan gaya yang lazimnya dibuat oleh anggota militan sambil berdiri di depan bendera yang dugunakan kumpulan-kumpulan tersebut.

"Dia menganggap perbuatan menyebarkan bahan-bahan radikal sebagai satu bentuk jihad, dengan cara mewujudkan kesedaran tentang IS dan menggalak penggunaan senjata," menurut MHA