Kehadiran Yahaira Leanne, lapan bulan memang dinanti-nantikan oleh Lisa Surihani Mohamed, 30 tahun dan Yusry Abdul Halim, 43 tahun setelah lebih empat tahun mendirikan rumah tangga. Bagi peminat-peminatnya pula sudah tentu mereka juga tidak sabar melihat raut wajah bayi artis kesayangan mereka ini.

Namun, tidak seperti selebriti lain yang mana selepas kelahiran, gambar-gambar kelahiran anak mereka dipaparkan di majalah mahupun media elektronik lain. Bagi Lisa dan Yusry, mereka mempunyai alasan tersendiri dan bukan bermaksud untuk menyorok kehadiran Yahaira, buah hati kesayangannya.

Menurut Yusry, mereka tidak paparkan Yahaira kerana tidak mahu dia membesar dalam keadaan seorang selebriti. Cukuplah mereka berdua sahaja dan biarkan Yahaira membesar seperti bayi normal lain.

“Saya mahu Yahaira membesar secara normal dan kalau boleh saya tidak mahu dia terdedah pada dunia ini. Melainkan apabila besar nanti, dia memilih menjadi selebriti.

“Pada saya, orang di luar sana melihat dunia selebriti indah semuanya. Saya sendiri yang lalui zaman-zaman ini tahu segalanya. Lebih-lebih lagi sekarang ini, zaman media sosial yang semakin berkembang, terdapat peminat dan juga haters. Jadi saya tidak mahu Yahaira terlibat sama,” jelas Yusry.


Mengenai persiapan raya pula, seperti tahun-tahun sebelum ini, segala persiapan baju raya, Lisa akan sediakan termasuklah untuk adik beradik lain. Lisa ini diibaratkan anak sulung yang membuat persediaan untuk ahli keluarganya.

“Namun, untuk tahun ini, saya hanya siapkan suami, anak, ibu dan ibu mentua. Maklum sahaja, apabila ada anak, saya kena uruskan kembali bajet  perbelanjaan untuk hari raya. Alhamdulillah, ahli keluarga memahami,” kata Lisa yang memilih rekaan Jovian Mandagie untuk hari raya pertama.

Lisa memilih untuk memberi susu secara eksklusif buat anaknya, tetapi ada cabarannya