BUKAN mudah untuk mencipta nama, apatah lagi dalam pemberitaan alam maya yang persaingannya cukup hebat!

Namun bermula sejak pertengahan 2009, portal Sinar Online mula merangkak mencipta nama bersaing dengan portal-portal berita sedia ada di negara ini.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, Sinar Online terus berusaha menepati selera pembaca dan akhirnya berjaya mengungguli carta portal bahasa Melayu di negara ini untuk beberapa kali.
Keluarga kecil kami

Sinar Online pada awal penubuhannya beroperasi dengan hanya seorang penolong editor, tiga eksekutif pengisian dan tiga wartawan.

Kini keluarga Sinar Online mengorak langkah dengan pertambahan kepada 17 tenaga kerja, terdiri daripada seorang editor, tiga penolong editor dan empat wartawan.

Gerak kerja Sinar Online diperkukuh dengan kehadiran dua penterjemah dan lapan eksekutif pengisian.

Bermula dari bawah

Sinar Online bangkit dari bawah bak kata pepatah Inggeris, ‘from zero to hero’.

Kejayaan pada hari ini bukanlah seperti 'yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang'.

Ia hasil usaha gigih satu pasukan, perih jerih dan air mata. Ya, air mata.

Lakaran kejayaan

Pada akhir 2013, portal Sinar Online menjadi laman berita berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia, menurut data yang dikeluarkan Malaysia Digital Association (MDA) untuk Disember.

Data yang dikeluarkan MDA melalui khidmat comScore Media Metrix itu, menunjukkan Sinar Harian menduduki tangga ke 11 daripada 30 laman sesawang tempatan yang menerima akses pengunjung (unique visitors) paling ramai.

Pada Ogos 2014, Sinar Online menjadi pilihan pengguna internet, seterusnya menjadi portal berita nombor satu di Malaysia.

MDA turut mengesahkan berdasarkan data yang diperoleh dari comScore Media Metrix®service, Sinar Online mencatatkan jumlah pengunjung seramai 931,000.

Pada November 2014,  data daripada MDA, sekali lagi menunjukkan Sinar Online mendahului carta mengatasi portal berita media lain.

Sinar Online yang juga produk atas talian Kumpulan Media Karangkraf sekali lagi muncul sebagai portal nombor satu pilihan pembaca berbanding laman berita lain untuk Disember 2015.

Kejayaan demi kejayaan terus dilakar. Penutup tirai 2015 mencatatkan sejarah manis buat Sinar Online sekali lagi sebagai portal nombor satu mengatasi  malaysiakini.com  dan  HMetro.com.my.

Malah, Sinar Online juga menjadi pilihan pembaca menerusi telefon pintar!

Cabaran

Namun di sebalik kejayaan, pastinya terselit cabaran yang terpaksa dihadapi termasuk dihentam teruk oleh netizen, gara-gara laporan berita yang tidak menepati cita rasa mereka.

Sinar Online juga pernah menjadi mangsa penyebaran berita palsu yang diedit daripada laporan sebenar dan digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan semua rangkaian media sosial termasuk portal Sinar Online tergendala.

Di sinilah sebenarnya kami belajar

Berdepan pelbagai cabaran akhbar versi online, kritikan netizen, teguran membina pembaca sehinggalah kepada menguruskan sebuah jenama, doa kami, moga usaha ini sukses!